Hampir semua bayi baru lahir pada masa kini akan mengalami jaundis. Dalam kebanyakan kes, jaundis di kalangan bayi baru lahir dianggap proses yang normal. Kebanyakan penyelidik melalui kajian masing-masing merumuskan ia merupakan pelindung bayi daripada kesan radikal bebas oksigen.
Jaundis yang kini kerap menyerang bayi baru lahir dikenali sebagai physiological jaundice. Ia bukannya penyakit! Selagi paras bilirubin tidak mencecah paras berbahaya, ia tidak memudaratkan.
Bayi pramatang atau kurang berat badan amat mudah untuk mengalami jaundis. Malah, bayi yang tidak menyusu secukupnya terutamanya diawal kelahiran dan tidak membuang najis dengan kerap sangat mudah mengalami jaundis.
Kolostrum dan susu ibu yang diterima bayi akan membantunya membuang air besar. Ia mampu mempercepatkan proses penyingkiran bilirubin dari sistem tubuh bayi.
Ambil Masa
Sebelum bayi dilahirkan, dia memerlukan banyak sel darah merah untuk memperoleh oksigen daripada darah anda. Sejurus lahir, dia tidak lagi memerlukannya kerana memperoleh oksigen dari udara.
Sel-sel darah merah yang mengandungi hemoglobin itu perlu disingkirkan segera selepas lahir. Jika tidak, ia boleh diserap semula ke dalam sistem bayi.
Bilirubin pula merupakan sisa sel darah yang perlu dikeluarkan daripada aliran darah oleh hati dan dibuang melalui mekonium dan najis bayi.
Walau bagaimanapun, hati bayi belum sepenuhnya matang lalu menyebabkan ia tidak berupaya memproses dan membuang bilirubin dengan segera pada hari pertama kelahiran bayi.
Kebiasannya, hati bayi baru lahir mengambil masa antara seminggu hingga dua minggu untuk menjadi matang bagi menangani pertumbuhan bilirubin dalam darah.
Secara puratanya bayi baru lahir yang normal akan mengalami paras tertinggi iaitu 6mg/dl sekitar hari ketiga hingga kelima. Namun ia akan turun kira-kira 2-3 mg/dl di akhir minggu pertama dan beransur menjadi1 mg/dl di akhir minggu kedua selepas tarikh kelahiran.
Bagi mengatasi masalah peningkatan paras jaundis, rawatan terapi poto akan disaran oleh kebanyakan doktor. Rawatan ini memerlukan kulit bayi didedahkan kepada lampu biru yang berupaya memecahkan bilirubin sekaligus memudahkan penyingkirannya dari sistem tubuh bayi. Ia sangat efektif kerana terapi ini boleh menurunkan paras bilirubin dengan pantas.
Panduan Mengelak dan/atau Merawat Jaundis
- Susukan bayi sejurus selepas lahir dan sekerap yang boleh. Kolostrum bertindak sebagai laksatif dan kekerapan pembuangan najis akan mengurangkan paras bilirubin.
- Elakkan memberi bayi air! Perlu diingatkan, hanya 2% bilirubin dibuang melalui air kencing manakala selebihnya menerusi najis. Jika bayi diberi air, ia hanya akan memenuhkan perut bayi yang secara langsung menyebabkan dia kurang menyusu susu ibu.
- Galakkan bayi untuk kekal berjaga dan menyusu setiap dua jam. Ini kerana jaundis akan menyebabkan bayi mudah mengantuk terutamanya jika dia menjalani rawatan terapi foto.
- Jika bayi kerap lena ketika menyusu terus daripada payu dara dan membuang najis kurang dari tiga kali dalam tempoh 24 jam, anda perlu mengepam payu dara setiap kali selepas sesi penyusuan dan beri susu perahan menggunakan sudu, picagari, cawan atau tiub penyusuan.
- Dedahkan bayi kepada sinaran matahari kerana ia membantu bayi memecahkan bilirubin di bawah kulitnya. Dengan hanya memakai lampin dan dedahkan dia dikawasan terlindung tetapi banyak cahaya matahari seperti anjung di luar rumah.
- Anda perlu mengelakkan dari mengambil ubat-ubatan seperti aspirin dan sulfa. Anda mungkin boleh berhenti mengambilnya atau mendapatkan ubat alternatif lain yang mungkin tidak memburukkan lagi keadaan jaundis bayi.
No comments:
Post a Comment